Monday, May 5, 2008

DOA UNTUK AKU

Rehat. Teman-teman semuanya sudah keluar makan. Aku sendiri. Aku masih duduk di meja kerja. Di atasnya ada limau-limau mandarin yang berselerak. Ya, esok CNY. Perlu ada suasana CNY.
Aku bersandar ke kerusi dan menutup mata. Waktu ini aku membayangkan ada tangan kasar yang lembut memegang pundak sebelah kiriku. Lalu aku berpaling kebelakang. Seorang tua yang yang berjanggut putih tersenyum nipis. Pasti dahi aku berkerut. Perlahan-lahan tangan kanan lelaki tua itu lucut dari pundakku.
“Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu.
Aku diam.
“Saya bisa memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu lagi.
Aku masih diam. Lelaki tua itu mengjungkitkan kening. Hanya sekali. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
“Doa yang bagaimana?” tanyaku pula.
Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”
“Mengapa perlu kamu berdoa untuk saya?”
“Kerna doa kamu kosong.”
Aku lalu mengerut dahi. Meneliti lelaki tua di hadapan aku, dari kaki hingga ke rambut. Dia siapa? Mengapa lelaki tua ini menuduh doa aku kosong?
“Kamu ini siapa?” tanyaku lanjut.
“Kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah jadi tua kerna tidak lagi diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lalu kulit saya yang tegang jadi kecut, rambut yang hitam jadi putih. Tubuh yang lincah kini jadi perlahan. Saya yang sihat kini sudah sakit.” Orang tua itu berkata sambil mengangguk-anggukan kepala.
“Tetapi saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu. Ya. Memang tidak berjanggut.
“Eh, maaf. Saya terlebih-lebih. Memang kamu tidak berjanggut,” kata lelaki tua itu. Lalu janggut putihnya hilang, serta-merta. Aku diam. Kerut di dahi sudah basah. Ada peluh.
“Tolong, arahkan saya berdoa untuk diri kamu,” rayu lelaki tua itu.
Aku diam. Dahi cuba aku tegangkan kembali. Sedetik kemudian aku berkata, “Sekiranya kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja. Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”
“Seperti yang saya beritahu, saya adalah jiwa kamu yang lelah. Lapar dan udah menjadi tua. Kamu memang ada berdoa. Namun kamu berdoa tidak melalui saya. Hanya pada lidah. Kamu hanya mengarahkan lidah kamu yang berdoa. Tidak mengarahkan saya. Tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tidak ada rintihan. Tidak juga bersungguh. Tidak ikhlas. Saya pohon kamu berdoa melalui saya. Memohon saya yang berdoa kepada Tuhan. Jadi, tolong arahkan saya, jiwa kamu ini berdoa sesuatu berkenaan diri kamu. Jika tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu lagi bertahan,” terang lelaki tua itu. Kedua-dua belah tangannya memegang pundak kanan dan kiri aku. Aku diam.
Aku membuka mata, lalu berpaling ke belakang. Nyata lelaki tua itu tiada. Dan sekarang masih waktu rehat. Masuk waktu solat Zohor (bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya). Pasti lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya berdoa.

No comments: