Monday, May 5, 2008

AKU AKAN KE TEPI...

Moga tajuk kali ini cocok dengan postingnya :-p

Aku diberitahu oleh seorang teman. Katanya, "kamu tidak perlu memberitahu siapa diri kamu kepada dua jenis manusia. ""Siapa?" tanyaku."Manusia yang menyayangi kamu dan manusia yang memusuhi kamu. Kerna manusia yang menyayangi kamu tidak perlukan sebab bagi menyayangi kamu. Manakala manusia yang memusuhi kamu pula tidak akan mempercayai apa yang kamu beritahu."Aku akui kata-kata itu. Ternyata ia benar. Sehingga teman aku itu tadi pudar daripada pandangan aku. Aku masih terfikirkan kata-katanya. Aku teringatkan berkenaan seorang lagi teman aku. Katanya dia udah capek mahu meyakinkan pujaannya yang dia udah berubah. Udah menjadi yang baru. Bukan lagi yang dulu. Katanya lagi, pujaannya masih punyai perasaan bisu dan dingin (eh, nama aku naik ;-P) pada dia.Teman aku itu terlihat udah bisa menerima hakikat yang pujaannya sudah tidak akan mungkin lagi berpaling. Biarpun aku yakin, teman aku itu tetap masih menaruh harapan pada pujaannya. Teman aku itu terlihat sebagai seorang yang bisa biarpun dia hanyalah seorang yang biasa. Tetapi aku masih ragu.Rasanya jika teman aku itu ada di sebelah aku waktu ini, mahu aja aku berkata, "jangan penatkan diri kamu memberitahu siapa diri kamu sekarang kepada dia. Kerna jika betul hadirnya kamu di dunia ini bagi menjadi pasangannya, pasti ada satu saat nanti, dia datang kepada kamu. Jika tidak pun dia yang datang, pasti ada lagi manusia lain yang datang. Manusia yang bisa menjadi pujaanmu dan kemudian kamu jadi pujaannya. Pada saat itu kamu tidak perlu memberitahu siapa diri kamu, kerna dia tidak perlukan itu bagi menyayangi kamu. Dia hanya perlukan kamu diam duduk di pelamin bersama dia."Tetapi mungkin teman ku itu akan berkata, "Tetapi pujaanku bukannya musuh aku dan dia tidak akan pernah mahu menjadikan aku sebagai musuh. Jadi aku fikir dia masih mahu mendengar apa yang aku beritahu berkenaan apa yang bisa aku perbuat untuk dia. Benar dia tidak lagi menyayangi aku, tetapi sekal lagi aku tegaskan, dia juga belum menjadi musuh aku. Sebab itu aku perlu terus memberitahu yang aku bisa jadi apa yang dia mahu."Pada saat itu aku fikir, aku akan diam dan mengaku kata-kataanya itu benar. Persoalannya akan kembali kepada aku. Aku mahu terus menggalakkan dia ataupun terus berdiri di hadapan dan menghalang dia daripada terus melukai dirinya sendiri. Semoga dia memberitahu tuhan, supaya memelihara dia. Kerna tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

DOA UNTUK AKU

Rehat. Teman-teman semuanya sudah keluar makan. Aku sendiri. Aku masih duduk di meja kerja. Di atasnya ada limau-limau mandarin yang berselerak. Ya, esok CNY. Perlu ada suasana CNY.
Aku bersandar ke kerusi dan menutup mata. Waktu ini aku membayangkan ada tangan kasar yang lembut memegang pundak sebelah kiriku. Lalu aku berpaling kebelakang. Seorang tua yang yang berjanggut putih tersenyum nipis. Pasti dahi aku berkerut. Perlahan-lahan tangan kanan lelaki tua itu lucut dari pundakku.
“Arahkan saya berdoa,” kata lelaki tua itu.
Aku diam.
“Saya bisa memberikan kamu doa,” kata lelaki tua itu lagi.
Aku masih diam. Lelaki tua itu mengjungkitkan kening. Hanya sekali. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
“Doa yang bagaimana?” tanyaku pula.
Lelaki tua itu tersenyum lalu berkata, “Doa berkenaan kebaikan dan kesejahteraan kamu.”
“Mengapa perlu kamu berdoa untuk saya?”
“Kerna doa kamu kosong.”
Aku lalu mengerut dahi. Meneliti lelaki tua di hadapan aku, dari kaki hingga ke rambut. Dia siapa? Mengapa lelaki tua ini menuduh doa aku kosong?
“Kamu ini siapa?” tanyaku lanjut.
“Kamu tidak kenal saya? Saya adalah jiwa kamu. Saya sudah jadi tua kerna tidak lagi diberi makan dengan doa-doa kamu yang ikhlas. Lalu kulit saya yang tegang jadi kecut, rambut yang hitam jadi putih. Tubuh yang lincah kini jadi perlahan. Saya yang sihat kini sudah sakit.” Orang tua itu berkata sambil mengangguk-anggukan kepala.
“Tetapi saya tidak berjanggut,” kataku sambil mengusap dagu. Ya. Memang tidak berjanggut.
“Eh, maaf. Saya terlebih-lebih. Memang kamu tidak berjanggut,” kata lelaki tua itu. Lalu janggut putihnya hilang, serta-merta. Aku diam. Kerut di dahi sudah basah. Ada peluh.
“Tolong, arahkan saya berdoa untuk diri kamu,” rayu lelaki tua itu.
Aku diam. Dahi cuba aku tegangkan kembali. Sedetik kemudian aku berkata, “Sekiranya kamu jiwa saya, mengapa kamu tidak berdoa sahaja. Mengapa perlu saya yang mengarahkan kamu berdoa?”
“Seperti yang saya beritahu, saya adalah jiwa kamu yang lelah. Lapar dan udah menjadi tua. Kamu memang ada berdoa. Namun kamu berdoa tidak melalui saya. Hanya pada lidah. Kamu hanya mengarahkan lidah kamu yang berdoa. Tidak mengarahkan saya. Tidak berdoa menerusi jiwa. Doa kamu sombong dan kosong. Tidak ada rintihan. Tidak juga bersungguh. Tidak ikhlas. Saya pohon kamu berdoa melalui saya. Memohon saya yang berdoa kepada Tuhan. Jadi, tolong arahkan saya, jiwa kamu ini berdoa sesuatu berkenaan diri kamu. Jika tidak, pasti saya akan mati. Jangan hanya melalui lidah. Saya sudah tidak mampu lagi bertahan,” terang lelaki tua itu. Kedua-dua belah tangannya memegang pundak kanan dan kiri aku. Aku diam.
Aku membuka mata, lalu berpaling ke belakang. Nyata lelaki tua itu tiada. Dan sekarang masih waktu rehat. Masuk waktu solat Zohor (bagi kawasan Kuala Lumpur dan sekitarnya). Pasti lelaki tua itu berharap aku mengarahkannya berdoa.